Thursday, May 15, 2008

Ada Apa Dengan Tarbiyah_Halimatussa'diah

Baru- baru ini aku memperkenalkan mad’u berkaitan perkataan tarbiyah. Bukan sesuatu yang mudah untuk menghuraikannya namun dapat aku permudahkan dengan 3T iaitu tilawah, tazkiyah, taklim. Rasanya seperti mudah seperti ABC namun praktikalnya entah la. Walau bagaimanapun sedikit sebanyak mereka telah diperkenalkan dengan perkataan bahasa Arab.Aku sendiri tidak pernah bersekolah agama jadi perkataan bahasa arab ini begitu asing sekali kudengari. Walau bagaimanapun, tarbiyah memberi aku semangat agar tidak mudah mengaku kalah dan berusaha untuk menguasai serta mendalami bidang agama. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah memberi peluang kepada hambanya untuk berubah serta memperbaiki diri. Melalui tarbiyah yang aku kenali dan rasai perubahan yang berlaku tidak berlaku secara mendadak namun bertahap-tahap dan terus ada pembaikan. Betapa sunyi dan kosong jiwa ini apabila majlis ilmu yang dijalankan setiap minggu tidak dihadiri. Melalui perjumpaan yang rutin inilah nadi utama tarbiyah dijalankan. Bukan semata-mata pengisian yang formal malah berlaku juga pengisian yang tidak formal. Melalui program tarbiyah ini ia tidak menyekat kebebasan untuk kita berbuat kebaikan selagi mana ia tidak melanggar syariat namun disiplin sangat ditekankan. Satu perkara yang menyebabkan tarbiyah ini sangat perlu kepada setiap individu adalah ukhwah yang terjalin memberi suntikan rohani yang sangat bermakna untuk memajukan diri kearah yang lebih positif serta berdaya saing semata-mata mencari keredhaan Allah. Daripada pelbagai peringkat umur serta negeri kami dipertemukan melalui tarbiyah dan berkongsi pandangan dan pengalaman yang begitu indah. Insyaallah semoga Allah memberkati serta melimpahkan rahmatnya ke atas kami semua yang berjuang untuk meningkatkan martabat Islam di mata dunia. Tarbiyah sesuai untuk semua peringkat umur dan kepelbagaian cara dalam mengembangkan kefahaman tentang Islam memberi satu dimensi baru kepada generasi seterusnya untuk berkomitmen dengan Islam secara sempurna dan terbaik. Satu firman Allah yang sangat menusuk jiwaku adalah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang memberikan huraian maksud bahawa kita umat Islam adalah umat yang terbaik dilahirkan untuk beramal makruf nahi mungkar dan beriman kepada Allah. Begitu indah dan besarnya penghargaan yang dikurniakan. Aku sentiasa berdoa aar aku tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa berbuat kebaikan dan berusaha mengajak orang lain juga ke arah yang sama. Janji setia serta berikrar untuk hanya beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dalam tarbiyah yang aku lalui hampir empat tahun mengajar aku erti pengorbanan yang sebenar. Jiwa, harta, tenaga, masa dan idea meenjadikan aku seorang yang lebih kreatif dan berfikir dengan rasional. Kesan yang diperolehi bukan sahaja memberi kebaikan kepada individu, ibu bapa, kaum keluarga malah masyarakat sekeliling. Hidup yang tidak berapa lama di dunia ini sebenarnya patut di isi dengan perkara yang berfaedah dan memberi keuntungan kepada semua orang. Ya Allah kepadaMu aku menadah tangan agar istiqamah di jalan dakwah ini. Mempermudahkan segala urusan serta menghidupkan benih-benih Islam di setiap pelusuk negeri dan daerah. Ikhlaskan niat-niat semua pejuang-pejuang Islam ke arah mardhatillahMu. Ada apa dengan tarbiyah? Betapa ruginya diri ini jika tidak ditarbiyah. Rasailah nikamat yagn begitu indah ini. Semoga Allah sentiasa melindungi kita semua.

Ada Apa Dengan Tarbiyah_Ummukhair

Tarbiyah banyak mengajar ana tentang erti kehidupan. Jika ditanya apa ada dengan tarbiyah, ana pasti menjawab segalanya ada dalam tarbiyah. Tarbiyah mengubah kehidupan ana dari seorang yang suka bersendiri kepada seorang mudah bergaul, daripada seorang yang pemarah kepada seorang yang mula belajar untuk bersabar dan menilai diri sendiri.
Tarbiyah itu sendiri bermaksud pendidikan yang mana ianya merupakan suatu proses perubahan yang sememangnya memakan waktu untuk menilai keberhasilannya. Dengan merasai nikmat tarbiyah, ana mula mengenal ukhuwah yakni persaudaraan islam yang sebenarnya. Jika dahulu, ana memang payah untuk mempercayai seseorang apatah lagi bila orang itu tidak ana kenali mahupun baru sahaja kenal. Namun, dengan tarbiyah ana tak perlu berasa sangsi lagi kerana segala-galanya diserahkan kepada Allah.
Antara sebab mengapa tarbiyah merupakan nilaian yang paling berharga bagi ana adalah dengan tarbiyah ana dapat merealisasikan impian ana untuk menjadi wanita solehah wa muslehah. Tarbiyah menjadi lombong bagi ana mengaut segala pahala kebaikan seterusnya membuka ruang dan peluang untuk mengajar ana kekuatan melaksanakan amar makruf nahi mungkar secara istiqamah. Bahkan tarbiyah juga membimbing ana bagaimana mengawal nafsu amarah dan pelbagai konflik kemanusiaan yang wujud dalam jiwa. Alangkah indahnya semua itu dalam pandangan biarpun untuk melalui fasa itu dirasakan amat payah sekali namun setelah berjaya menempuhnya, itulah nikmat yang paling disyukuri. Wajar-wajar sahaja seorang akhwat itu tidak sependapat dengan akhwat lain kerana perbezaan pendapat itu kan hikmah dalam beragama. Banyak pengajaran yang pasti diperoleh bila timbul ketidaksefahaman itu dan kembali kepada Allah adalah sebaik-baik penyelesaian.
Semoga ana terus tsabat walau di mana posisi pun ana berada dalam tarbiyah ini. Berjuang bersama-sama akhwat tersayang moga-moga terus memberi ana kekuatan dan ana terus berdoa agar inilah jalan hidup ana selama bergelar hambaNya. Wallahualam.

Ada Apa Dengan Tarbiyah_Zinnirah

Bismillah wal hamdulillah..
Tarbiyah; Andai Redha BalasanNya Itulah Yang Aku Harapkan.
Ilham ini datang tiba-tiba mengetuk kotak fikiranku. Apabila menerima mesej supaya disediakan esei bertajuk:
“Ada Apa Dengan Tarbiyah”
aku termenung sejenak. Dengan tarbiyah, macam-macam ada. Bukan hanya slogan yang ditututrkan untuk melambangkan keaneragaman ’channel’ astro. Melalui tarbiyah, keseronokan bukan seperti menonton astro ceria, bukan juga kepetahan berbahasa Indonesia dalam astro kirana, juga tidak sama dengan permainan emosi menghayati babak drama dalam astro prima, bahkan tidak menyamai sama sekali dengan keriuhan penonton menyaksikan asrto ria. Tapi tarbiyahlah mengajar erti hidup yang sebenar, hidup sebagai khalifah di muka bumi Allah. Dengan tarbiyah, bagi ana yang pertama; ada rasa taqwa. Taqwa pada bahasa, boleh didefinisikan kepada takut. Namun rasa takut ini tidaklah boleh disamakan dengan rasa takut seekor tikus terhadap pemangsanya, kucing. Tetapi takut sebagai hamba terhadap pencipta. Takut (khauf) yang disertai harap (raja’). Ketakutan andai amalan hamba tidak diterima, bahkan mengharap Engkaulah kuasa yang menganugerahkan segalanya. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 4 yang bermaksud:
Sesungguhnya kami Telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.

Semoga dengan rasa taqwa inilah, saban waktu kita menuturkan kalimah tahmid mensyukuri nilai Islam, serta kalimah takbir mengagungkan Dia yang menitipkan keimanan. Titipkan di jiwa, sematkan di minda agar matlamat penyampaian kita hari ini, sebagai jejak melestari tradisi Murabbi, menegakkan kalimah tauhid ‘Lailaha illallah’. Dengan rasa taqwa inilah, kita gilap kembali sinar ikhlas andainya semakin kabur dihambat waktu.
Yang kedua, dengan tarbiyah dirasai kemantapan iman. Iman adalah mempercayai keEsaan Allah dan kepada kitab-kitab yang dibawa para RasulNya dengan dibuktikan dalam bentuk amal. Allah azza wa jalla berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, Kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.
Jelasnya, jihad tidak akan terlintas di fikiran jiwa yang tidak dipasakkan rasa iman. Dan inilah sebenarnya buah dari tarbiyah. Tanpa tarbiyah, bagi diri ana tidak kenal erti jihad. Tapi, adanya tarbiyah menyedarkan kita akan peri pentingkan setiap jiwa muslim memahami serta menghayati seterusnya mengaplikasikan makna jihad dalam kehidupan muslim yang musleh.
Seterusnya, dengan tarbiyah dapat melestarikan sunnah. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa menghidupkan sunnahku bererti menyintaiku. Dan barangsiapa menyintaiku akan bersamaku pada hari kiamat di Syurga”
Telah berkata Sahal RA:
“Tanda cinta Allah adalah cinta Al-Quran. Tanda cinta Allah dan Al-Quran adalah cinta Nabi SAW. Dan tanda cinta Nabi SAW adalah cinta sunnah. Lalu tanda cinta sunnah adalah cinta akhirat. Tanda cinta akhirat itu benci dunia dan dia hanya mengambil untuk sekadar bekal ke akhirat.”
Tidak hairanlah kita menjejaki tiap langkah Murabbi kita kerana tanpa dia (Rasulullah) roh Islam tidak menyelinap di jiwa kita. Naluri iman tidak mengalir dalam diri kita.
Dari Anas bin Malik berkata, telah berkata Rasulullah SAW bersabda dalam hadith sahih:
“Siapa membaca selawat padaku sekali, Allah memerintahkan mendung putih mengambil air dari lautan rahmat. Maka diambil, lalu Allah memerintahnya agar menitik. Ketika ia menitik, setiap titikan di atas bumi Allah jadikan emas, yang menitik di gunung dijadikan perak serta yang menitis ke atas orang kafir dijadikan iman.

Biarpun kelibatnya tidak sempat terakam dalam kenangan, namun cara hidupnya, tutur langkahnya, jejak bicaranya akan cuba diikuti sebaik mungkin kerana kita sedar, di bahu kita terpikul amanah Rasul, kita perjuangkan agama yang telah dijanjikan kemenangan.
Akhirnya, dengan tarbiyah menyedarkan kita akan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Manfaat yang tidak putus kerana umur apabila kita menyebarkan kebaikan. Maka, perintah amar makruf nahi mungkar harus disambut sebagai tanggungjawab pada setiap jiwa yang disapa nilai Islam dan diterapkan hembusan iman agar roh Islam tersirap di segenap penjuru dunia.
.......dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.
(Al-Maidah: 2)
Dari Huzaifah RA dia berkata,”Akan datang masa di mana manusia lebih suka mendapat bangkai himar daripada kehadiran seorang mukmin yang memerintah dan melarang mereka.
Inilah yang didapati daripada tarbiyah; yang merasakan pentingnya kita beramar makruf nahi mungkar sekaligus menghakis sikap seperti dalam kisah di atas.
Nabi Musa AS berkata,
“Ya Tuhanku, apakah pahala orang yang menyeru saudaranya memerintah yang makruf dan melarang yang mungkar?”
Allah berkata,
“Aku tulis untuknya setiap satu kalimat seperti beribadah setahun dan Aku malu menyeksanya dengan nerakaKu”

Ana akhiri coretan ini dengan kisah di atas. Semoga dengan kisah ini memperbaharui niat kita, memantapkan langkah kita dalam menuju redhaNya. Buah fikiran yang sempat ana kongsi ini mungkin hanya yang terlintas di minda yang serba terbatas ini. Tetapi jika ditanya apa ada dengan tarbiyah? Jawapannya, macam-macam ada. Tepuk dada, tanya iman kita apa yang diniatkan sepanjang di jalan tarbiyah ini. Ana mengingatkan diri ana agar diistiqamahkan di jalan yang diredhaiNya kerana tanpa tarbiyah, segala-galanya tiada. Semoga kita terus dipelihara dalam naungan rahmat, berpayungkan teduhan berkat menyusur jalan ikhlas berpagarkan paksi iman, insya Allah.

Ada Apa Dengan Tarbiyah_Marjan

Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam..Hanya kepadaMu kami memuji, memohon pertolongan, ampunan serta perlindungan dari kejahatan diri kami dan dari keburukan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, tiada seorang pun dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang disesatkanNya, tiada seorang pun dapat memberi petunjuk kepadanya… Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Ilah selain Allah, tiada sekutu bagiNya, Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya…

”Ada apa dengan tarbiyah” Itulah sms yang ana dapat. Merasai nikmat islami adalah kurniaan dari Allah yang tak mampu untukku ungkapkan. Tarbiyah bukan emas, bukan juga wang ringgit malah lebih berharga dari dunia dan seisinya. Bgaimana ana mengumpamakan hidayah dan tarbiyah ini ialah sebagaimana sebuah kereta, ia memerlukan minyak untuk terus memacu. Di sini ana mengumpamakan minyak sebagai hidayah dari Allah bilamana ia adalah sebagai turning point kepada jalan menuju Allah. Kereta ini perlukan destinasi dan tujuan yang akan dilalui. Nah di sinilah tarbiyah berperanan untuk sentiasa mengikat hati makhluk yang bernama manusia ini untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Khalik..Ia adalah suatu proses yang berterusan dan tidak terhenti walau sedetik pun dalam kehidupan ini. Bagi diri ana, tarbiyah adalah suatu momentum yang memberikan anjakan paradigma dalam kebanyakan diri ana samada dari aspek pemikiran, tingkah laku, pakaian dll. Segalanya hanya bersandarkan kepada Kalamullah dan sunnah Rasulullah. Tarbiyah ini suatu nikmat dan proses yang berpanjangan, namun perlu tegar untuk terus kekal bersamanya..Kerna sesungguhnya, setiap makhluk yang diciptakan Allah untuk menghuni dunia ini akan sentiasa diuji untuk dipilih. Kerana itu, orang-orang Mu'min amat dikagumi Rasulullah (S.A.W) kerana kesabaran mereka menerima ujian. Justeru, ana perlu bersiap untuk diuji dan tidak menganggap ujian itu sebagai petaka lantaran di sebalik setiap ujian itulah terselit hikmah. Berkesempatan disapa dgn tarbiyah bagiku adalah satu nikmat yang teramat berharga yang Allah Ta'ala kurniakan. Nikmat yang bukan untuk disia-siakan malah tempoh usia hijau membugar itulah yang menjadi masa penting yang melatih jiwaku agar tegar menelusuri kancah kehidupan sebelum sampai ke usia tua. Ana ingatkan diri ini agar tidak mudah alpa dalam menelusuri pusingan bilah-bilah waktu yang bisa memancung, agar nantinya cita-cita untuk mencapai husnul khatimah bisa tercapai dengan rahmat dan belas-Nya. Lantaran jalan untuk menujunya tidak mudah, sebaliknya dipenuhi onak-onak yang tusukannya sangatlah berbisa. Ya Allah, tabahkan haatiku menghadapi sunnah dunia, sucikan wahai ruhku agar mampu bangkit sebagai jiwa yang sentiasa bersedia untuk berkorban... Juga gagahlah wahai jasadku, dalam mempertaruh lelah dan sedia berlumur becah di ladang kehidupan..... amin

Hamba yang mengharapkan redhaMu..
Marjan..

Ada Apa Dengan Tarbiyah_Salsabila

Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Tarbiyah Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani. Dengan sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim :

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Ali ‘Imran: 110)

Tetapi apakan realiti masyarakat Islam kini?? Adalah satu hakikat yang mudah difahami iaitu manusia hendaklah menjadi muslim dan dididik dengan didikan Islam. Bagaimanapun perkara semudah ini tidak difahami oleh umat Islam hari ini atau kabur bagi mereka. Umat Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau identiti sebagai umat pilihan, hilang kekuatan dan terumbang-ambing menjadi buih, tidak digeruni atau disegani lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar menghadapi hidangan makanan. Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa itu, wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tapi kamu laksana buih air bah.”
Masalah manusia hari ini tidak akan dapat dirungkaikan kecuali kembali kepada Islam. Islam pula tidak dapat memainkan fungsinya melainkan wujud para pendokong (‘amilinnya). Meneliti sejarah Rasulullah SAW, para pendokong dibentuk dan diproses melalui Tarbiyah Islamiyah yang mengikrarkan ‘ubudiyah hanya kepada Allah; ‘ubudiyah yang merangkumi i’tiqad, ibadah dan peraturan yang benar-benar berjalan dalam amalan hidup mereka. Proses ‘ubudiyah seperti ini akan membersihkan jiwa mereka daripada beriman kepada yang lain dan mengawasi amalan mereka daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah semata-mata. Melalui proses ini sahajalah ummah Islamiyah dapat dibentuk. Ummah ini akan menjadi dasar penyelesaian Islam. Ummah yang dianggotai oleh mereka yang melalui proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggotanya iaitu ‘La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah’. Selagi ikrar ini tidak lahir dalam bentuk amalan individu mahupun masyarakat sebagai natijah proses pembentukan itu, mereka belum layak untuk menganggotai ummah muslimah dalam pengertian sebenar. Konsep yang tegas dan jelas ini perlu difahami oleh setiap muslim yang telah bertekad untuk memutuskan hubungannya dengan jahiliah dan mengikrarkan ‘ubudiyahnya hanya bagi Allah SWT. Kefahaman yang jelas ini penting supaya amalan hidup setiap muslim adalah benar-benar merupakan ibadah yang diredhai Allah SWT. Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang lengkap dan praktik. Dengan itu, kehidupan ummah Islamiah benar-benar diasas dan dikawal oleh kaedah ini, bukan kaedah lain atau bersama kaedah lain. Allah berfiman dalam Surah Yusuf, ayat 40 :

“Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya. Itulah din (agama) yang benar.”

Dalam Surah An-Nisa’, ayat 80 pula Allah berfirman :
“Siapa yang mematuhi Rasul maka sesungguhnya ia mematuhi Allah.”

Berdasarkan kepada proses pembentukan dan pembangunan itu, maka langkah pertama ialah membersihkan jiwa. Ummah yang sudah bersih hati dan jiwa sahaja yang dapat membangunkan masyarakat Islam. Ummah yang dibangunkan di atas dasar tauhid tidak dapat diwujudkan kecuali setelah tencapai suatu tingkat kekuatan yang mampu menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyah. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan aqidah, kekuatan syariah, kekuatan ahklak, kekuatan organisasi, kekuatan ilmu dan pelbagai jenis kekuatan yang diperlukan bagi menentang sistem jahiliyah atau sekurang-kurangnya mampu mempertahankan diri daripada dikuasai jahiliyah. Inilah kehebatan tarbiyah. Malahan lembaran sejarah para sahabat juga memberikan bukti keberhasilan tarbiyah. Tarbiyah telah membuktikan segala- galanya. Masih ada apa dengan tarbiyah??????? Tepuk dada tanyalah iman J

Ada Apa Dengan Tarbiyah_Rabiatul

Ada apa dengan tarbiyah? Dengan fahaman biasa, kita akan faham bahawa tarbiyah adalah pendidikan. Tetapi ada apa dengan tarbiyah? Bila ana kenal tarbiyah, dilanggar tarbiyah, ana dah terasa indahnya dalam tarbiyah. Bagaimana jika tiada tarbiyah? Ana mula disapa tarbiyah dengan merasa indahnya ukhwah. Bila ada keperluan, ada akhwat yang cuba penuhi, bila ada kekurangan, ada yang cuba untuk lengkapi.

Disapa tarbiyah secara beramai-ramai. Seronok dan asyik menanti murobbiah datang sekali seminggu untuk memberi pengisian. Namun, iya...ketika itu cuma untuk dengar dan untuk diri sendiri je. Dengan kawan-kawan yang sama majlis ilmu, kami masih suka tengok CD, movie, main game komputer..asyik sangat..leka!! Bila tiba hari Selasa, majlis ilmu pun suka juga..tapi Alhamdulillah. ADA APA DENGAN TARBIYAH? Tarbiyah mengubah diri kami dari suka perkara-perkara yang disebutkan tadi. Kesukaan itu berpindah kepada suka baca al-Quran, pi ziarah dan lain-lain. Yang tak kurang peliknya, tengok movie takleh tinggal gak. Cuma movienya dah berubah.

”Eee..panasnya..” lengan baju disingsing, tudung dikibas-kibas (tanda kepanasan), dengan TARBIYAH, ”Eh, senangkan pakai tudung besar, selesa dan rasa selamat”. Alhamdulillah, aurat mula ditutup dengan sempurna, bertudung labuh, berbaju labuh, pakai armsocks, pakai stokin..Aduh! Indah sekali pakaian muslimah ni!!

”Apa khabar iman?” Siapa yang nak tanya kita soalan tu? Tapi, dalam tarbiyah, tentu akan ada saudara kita yang bertanya. Amal harian kita, ibadah kita, ada yang concern. Sedangkan yang nak diisi bekalan kita, tapi akhwat sentiasa mengingatkan agar tidak leka dan tanda cintanya pada kita. Dalam tarbiyah, diri didisiplin dengan mutabaah. Indahnya tarbiyah.

Nak ditanya lagi ”Ada apa dengan tarbiyah?” Tentu jawapannya semua yang di atas tadi. Segalanya kerana Allah.

Ada Apa Dengan Tarbiyah_Ummusulaim

Ada apa dengan tarbiyah? Ringkasnya, tarbiyah ada segala-galanya. Ada suka dan duka, ada senang dan sukar, ada manis dan pahit, ada rela dan terpaksa, ada tawa dan tangis, ada putih dan hitam, ada senyum dan sinis, ada segala-galanya yang masih mungkin belum mampu kuungkapkan di lembaran ini.

Tarbiyah bukan segala-galanya, namun tanpa tarbiyah segala-galanya tak bermakna. Ungkapan ini hanya boleh difahami oleh mereka yang benar-benar berusaha utk memahami erti tarbiyah itu sendiri.

Sekali kita sanggup untuk menyatakan rasa cinta dan sayang pada tarbiyah, sebenarnya bukan mudah untuk kita menelusuri jalan dakwah dan tarbiyah ini... mengapa begitu? Hal ini perlu difahami oleh setiap kader dakwah agar dia mampu berbuat semaksimum mungkin dalam apa jua keadaan dan apa jua halangan.

Bukan mudah utk merealisasikan iman dalam jiwa. Kerana ganjaran yang disajikan bukannya murah.. bayangkan ganjaran syurga utk sesiapa yang mengungkapkan kata iman dan mampu merealisasikannya.. sudah tentu hal ini bukan hal yang mudah dan boleh dipandang enteng.

Syurga yang menanti hanya layak untuk mereka yang benar-benar ikhlas dan sanggup berkorban apa saja utk Allah dan Rasul. Mereka sangat yakin dengan janji-janji Allah (9:111), (61:9-11), (29:69).

Secara praktikal, telah ramai mereka yang berguguran setelah lama berada di atas jalan ini. Bukan mudah untuk istiqamah, sedangkan Rasulullah sendiri beruban apabila mendengar firman Allah ttg istiqamah (11:112) menunjukkan betapa beratnya tuntutan istiqamah ini. Jika kita tak ikhlas dan tak bersungguh-sungguh dalam memelihara keimanan, sudah tentu tiada sebarang jaminan pun untuk kita terus kekal dan istiqamah di jalan ini.

Buat diri ini dan semua yang masih mahu terus berkomitmen dengan dakwah dan tarbiyah, mari kita luruskan niat kita masing-masing. Mari sama-sama kita terus tingkatakan kualiti mutabaah. Mari kita sama-sama saling mengingatkan antara satu sama lain. Saling kita bertafahum, bukan memahami tapi lebih kepada memahamkan. Mari kita saling mendoakan antara sesama saudara. Salinglah mengingati agar kita lebih saling mencintai dan lebih saling menyayangi.

Sekadar buat ingatan bersama, tulisan ini untuk kita perbaharui kembali niat kita jatuh bangun di atas jalan ini. Jika kita tak cukup kuat, kita akan mudah tersungkur. Mari kita ingat kembali detik-detik awal semasa kita mula ditarbiyah, mengapa saat itu amal ibadah kita terasa manis. Tidak sama seperti sekarang, mengapa amal kita makin menurun kualitinya dan tak terasa manisnya, mengapa kita makin malas nak berinfaq, mengapa mutabaah kita sekadar nak memenuhi column-column mutabaah? Sama-sama kita fikirkan mengapa hal-hal begini boleh terjadi.

Lihat kepada fenomena akhwat yang ’downz’ imannya ketika cuti menjelang dan ketika saat bersama famili menjelma. Mengapa hal ini berlaku? Ingat ukhti, jangan jadikan hal ini sebagai budaya. Ini bukan intisari tarbiyah, bukan dan tidak pernah diajarkan pun oleh murabbiyah kita. Mengapa kononnya alasan balik rumah untuk dakwah famili akhirnya bertukar hinggakan ada yang sampai terikut pula dengan dakyah kafir laknatullah hingga sanggup maninggalkan jihad & tarbiyah. Nau’zubillah... Sama-sama kita muhasabah diri kita, adakah kita sudah tarbiyah?

Faqir ilAllah,
Um Sulaim